Rahsia Disebalik Jubah ‘Harry Potter’ Dan Topi Leper

/, Student activity/Rahsia Disebalik Jubah ‘Harry Potter’ Dan Topi Leper

Bismillahhirahmannirrahim.

 

Tanggal 6 April 2021 yang lalu, bertempat di Dewan Tuaku Canselor Tuanku Najihah USIM, buat sekian kalinya telah diadakan Majlis Konvokesyen USIM kali ke 18. Meskipun edisi kali ini dihimpit dengan pelbagai kontroversi sebelum majlis berlansung, lafaz kesyukuran diberikan kerana titik penyelesaian berjaya diperolehi dan majlis dapat disempurnakan mengikut norma baharu. Sebanyak 23 sesi temu janji telah diaturkan bermula dari 7 April sehingga 18 April untuk meraikan para graduan.

Sudah tentu, ia sebuah majlis tradisi yang dinanti-nantikan dan merupakan detik bersejarah buat semua bakal graduan setelah berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan airmata demi menggenggam segulung ijazah. Pada hari tersebut, graduan akan menyarung sepasang jubah dan mengenakan sebuah topi khas berpetak dengan juraian di tepi yang dinamakan ‘mortar board’. Menurut Dato’ Dr Afifi al-Akiti, seorang Felo dan ulama Melayu pertama di Universiti Oxford, majlis graduasi ini sebenarnya berasal daripada sebuah tradisi sekolah pondok Islam. Pada hari penganugerahan sijil, pelajar akan berkumpul beramai-ramai dalam sebuah majlis untuk berdoa dan makan bersama pengetua mereka. Mereka dan guru-guru akan dipakaikan dengan jubah mengikut warna untuk membezakan mereka dengan orang awam. Selain itu, mereka juga akan memakai penutup kepala seperti kopiah, dan diatasnya akan diikat senaskhah Al-quran. Kini ia digantikan dengan topi akademik (mortar board) atau dalam bahasa Arabnya disebut Qalansuwah. Sebab itulah, bentuknya leper di bahagian atas topi. Jelaslah disini, ianya menunjukkan falsafah yang sangat mendalam mengenai ketinggian sesuatu ilmu yang diperolehi menurut tradisi Islam. Persoalannya, wajarkah acara melempar topi akademik ini dijadikan sebuah tradisi? Sesuatu untuk kita renungi bersama.

Dalam kesempatan ini, izinkan saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada para graduan Fakulti Pergigian USIM kumpulan ke 9 (DentIX) kerana telah berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang meskipun diuji dengan situasi yang tidak menentu akibat penularan wabak COVID-19 pada tahun lalu. Besarlah harapan saya, segala ilmu dan tenaga yang dicurahkan oleh pengajar dan kakitangan di Fakulti, dapat mencorak pemikiran yang dinamik serta peradaban yang mulia dan dipraktis dengan sebaiknya.

Ada sebuah ungkapan yang menyebut “Barangsiapa ingin menggenggam nasib sesuatu bangsa, maka genggamlah para pemudanya”. Andalah pemuda harapan kami yang bakal mencorakkan masa depan bangsa dan negara. Masyarakat sekeliling seharusnya menerima manfaat dari limpahan ilmu yang diperolehi menerusi keberadaan anda di institusi daya akal selama 5 tahun lamanya. Ijazah yang anda terima ini adalah permulaan kepada perjalanan hidup yang lebih mencabar. Saya doakan anda berjaya dalam segala lapangan yang bakal diceburi. Selamat maju jaya dalam menempuh kehidupan seterusnya.

Saya juga mewakili seluruh warga HEPA dan Dental Student Club (DSC) FPg ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat, tidak kira dimana jua anda berada. Semoga Ramadhan kali ini memberi seribu rahmat buat semua.

Dr. D

2021-07-07T02:03:13+00:00